Tragedi Bukit Kepong merupakan pertempuran bersenjata
yang meninggalkan sejarah berlaku pada 23 Februari 1950 melibatkan pihak polis
dan Parti Komunis Malaya (PKM) sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Ia berlaku di kawasan sekeliling Balai Polis Bukit Kepong
yang terletak ditebing Sungai Muar. Kejadian ini berlaku sebelum waktu Subuh
apabila pasukan komunis melancarkan serangan gerila ke atas polis dan berakhir
tragik apabila berlaku penyembelihan berdarah terhadap hampir kesemua pegawai
polis yang berkhidmat disitu.
Memetik daripada kandungan buku ‘Memoir Abdullah C.D’,
Tragedi Bukit Kepong telah diketuai oleh Mat Indera, seorang komunis Melayu
yang memimpin dua plantun komunis Melayu. Ia turut disahkan oleh Chin Peng
menerusi buku ‘Dialogues with Chin Peng : New Light On The Malayan Communist
Party’, C. C. Chin, Karl Hack.
Parti Komunis Malaya telah
disertai oleh ramai Melayu kerana mereka percaya bahawa PKM membawa objektif
memperjuangkan kemerdekaan tanahair - mD
Idelogi komunis yang anti Tuhan tidak boleh dipakai masuk di
negara kita sejak dulu lagi kerana majoriti di sini berbangsa Melayu dan
beragama Islam.
Sewaktu Tanah Melayu, sokongan terhadap PKM tidak begitu
memberangsangkan kerana gerakan mereka tidak diiktiraf sebagai parti politik
yang sah.
Maka satu agenda telah dibuat oleh PKM dalam mendapatkan
sokongan daripada kaum majoriti di Tanah Melayu waktu itu.
Membawa masuk orang Melayu sebagai pemimpin tertinggi dalam
mengetuai beberapa bentuk serangan yang berlaku merupakan salah satu daripada
agenda mereka untuk menakluki kepercayaan penduduk Tanah Melayu.
Mereka mengambil hati orang Melayu dengan menyebarkan
objektif gerakan Parti Komunis Malaya adalah memperjuangkan kemerdekaan tanah
air daripada pihak British.
Penglibatan Mat Indera sebagai anak Melayu yang mengetuai
serangan bersama pasukan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong menjadi
salah satu contoh orang Melayu rela diperalatkan demi memenuhi keinginan PKM
dalam cubaan menjajah Tanah Melayu secara perlahan.
Pasukan
polis di Bukit Kepong - mD
Maka, timbul pelbagai versi sejarah daripada ramai pihak
mengenai ‘Tragedi Bukit Kepong’. Ramai yang menganggap Mat Indera merupakan
seorang pejuang negara kerana dia bertekad membunuh polis-polis yang dianggap
pembelot dengan alasan mereka bekerja di bawah penjajahan orang putih ketika
itu.
Mat Indera terpedaya dengan dakyah idelogi komunis dan jika
benarlah beliau mahu memerangi penjajah, beliau boleh lakukannya bersama orang
Melayu dan bukan mendapatkan pertolongan komunis yang mempunyai agenda
tersembunyi.
Apakah Mat Indera dan rakyat Malaysia lupa bahawa Parti
Komunis Malaya juga pernah bersekutu dengan pihak British dari tahun 1942
hingga 1945?
Menurut rancangan asal, serangan itu hanya sebagai tanda
amaran sahaja.
Bagaimanapun, serangan yang turut disertai Komisar Goh Peng
Tun bertukar menjadi tragedi berdarah.
Persoalan yang bermain di fikiran masyarakat terhadap
sejarah ini adalah apakah sebenarnya perancangan asal PKM di Bukit Kepong?
Mengapa perancangan asal mereka berubah? Siapa yang
memberikan arahan kepada Mat Indera melancarkan serangan ke atas Balai Polis
Bukit Kepong dan apa peranan sebenar Mat Indera?
Dr.
Nazarudin ZainunMenurut Pakar Sejarah Melayu Dunia dan Asia Tenggara,
Universiti Sains Malaysia, Dr Nazarudin Zainun, persoalan ini perlu diteliti
secara mendalam kerana berdasarkan keterangan beberapa tokoh komunis, tujuan
mereka hanya hendak menakutkan saja tetapi apabila ada serangan balas daripada
pihak polis, maka terjadilah serangan berdarah tersebut.
Alasan mereka itu terlalu mudah dengan hanya meletakkan
beban kepada pihak polis saja.
“Mereka harus ingat. Polis adalah pihak yang diserang.
Tentulah mereka perlu mempertahankan diri. Kita tengok dari segi jumlah anggota
komunis pun sudah jelas menunjukkan bilangan mereka jauh lebih ramai daripada
polis dan lengkap bersenjata. Logikkah datang hanya untuk memberi amaran saja?
“Pasukan komunis membuat barisan pertahanan di bahagian
belakang dan barisan utama untuk memutuskan bekalan bantuan dan logistik kepada
polis. Mereka yang menjaga barisan belakang adalah untuk menghalang kemaraan
bantuan daripada orang kampung.
“Bukankah tindakan pasukan komunis itu jelas memperlihatkan
bahawa mereka sudah merancang lebih awal untuk melancarkan serangan dan
bukanlah terjadi kerana keterdesakkan keadaan?,” katanya kepada Malaysian
Digest.
Mengulas mengenai penglibatan Mat Indera sebagai orang
Melayu komunis yang terlibat dalam serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong,
jelas Dr Nazarudin, Mat Indera adalah ahli pasukan komunis yang berpangkat
tinggi di lapangan ketika peristiwa tersebut. Beliau tentunya bertindak sesuai
dengan arahan yang diterima daripada orang teratas dalam PKM.
“Bukankah ini jelas memperlihatkan percaturan oleh pihak
tertentu untuk memecah belahkan kesatuan Melayu yang akhirnya akan wujud kelompok
Melayu yang menyokong polis dan Melayu yang menyokong komunis?
“Strategi mereka sudah berjaya sekarang. Sesuai dengan
perancangan komunis yang cuba untuk menguasai Tanah Melayu secara perlahan,”
katanya.
Tambah Dr Nazarudin, alasan pasukan komunis membunuh anggota
polis kerana dianggap pembelot hanyalah sekadar untuk mengesahkan tindakan
mereka saja.
Pada hakikatnya, mereka terlupa bahawa pada ketika itu
majoriti penduduk Tanah Melayu adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Bagaimana mereka hendak menerima fahaman komunis yang anti agama?
“Maka timbul persoalan mengapa mesti Mat Indera yang
berbangsa Melayu bertindak sebagai ketua dalam serangan Balai Polis Bukit
Kepong. Apa akan terjadi sekiranya serangan tersebut diketuai oleh seseorang
yang bukan Melayu?
“Tentunya pihak yang merancang agenda untuk meruntuhkan
kesatuan Melayu ini telah berfikir tentang hal tersebut. Mereka tidak mahu
dikatakan
sebagai rasis maka mereka menggunakan propaganda menentang penjajah untuk
kemerdekaan, maka tertariklah orang Melayu kita ini untuk turut serta dengan
perjuangan Parti Komunis Malaya," katanya.
Apa yang jelas, menghapuskan sesebuah bangsa bermula dengan
menghapuskan sejarah bangsa mereka sendiri. Maka, fakta sejarah yang sebenar
akan dipusingkan dengan mengangkat pengkhianat sebagai hero kemerdekaan.
Kita harus menyedari apa sebenarnya
agenda mereka bagi meruntuhkan kesatuan Melayu - mD
Ramai diantara rakyat Malaysia yang telah mengiktiraf Mat
Indera, Rasyid Maidin, Abdullah C.D dan ahli PKM lain kononnya sebagai pejuang
kemerdekaan. Apakah mereka ini layak menerima pengiktirafan tersebut?
Apakah rakyat Malaysia tidak tahu membezakan pengkhianat
atau pejuang kemerdekaan sebenar?
“Persoalan berkaitan dengan sejarah sesuatu bangsa
sebenarnya tidak pernah tuntas. Orang selalu menyatakan sang pemenang akan
menulis sejarah. Apakah ini bererti sejarah akan ditulis semula sebaik saja
sesuatu pihak itu menang? Kalau ini terjadi, maka lingkuplah sejarah. Sejarah
akan dijadikan alat oleh sang pemenang.
“Tapi, persoalannya bolehkah sejarah ditulis semula? Rakyat
Malaysia harus tahu, sejarah sesuatu peristiwa yang berlaku itu tidak boleh
berubah.
"Apa yang berubah adalah tafsiran mengenai sejarah
berdasarkan bukti baru. Apakah sudah ada penemuan bukti baru dalam konteks
penafsiran sejarah tragedi bukit kepong?
“Jika ada, apakah bukti tersebut? Setakat ini belum ada
sebarang bukti yang dikemukakan mana-mana pihak, makanya sejarah Bukit Kepong
yang ditulis semula itu hanyalah sejarah yang diubah sudut pandangannya.
"Perkara ini tidak akan dapat mengubah fakta yang
sebenar,” katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia harus tahu mengapa sejarah itu
ditulis sama ada untuk dikenang atau sejarah berperanan sebagai pengajaran.
Ibaratnya, sejarah itu berperanan seperti cermin pandang belakang sesebuah
kenderaan.
Sesekali ketika kita memandu, kita perlu menjeling dan
melihat cermin sisi.
“Apa yang menjadi kepincangan utama dalam sejarah dunia
ialah adanya kelompok tertentu menulis dan menjadikan sejarah untuk tujuan
mengesahkan politik sesebuah kelompok.
“Kepada golongan muda kini yang tak mengerti metodologi
sejarah perlulah memahami bahawa untuk menghasilkan sejarah yang baik dan
betul, mestilah
ditulis oleh individu yang memperlajarinya tanpa ada apa-apa tujuan dan
kepentingan tertentu,” katanya.
Salleh Lamry antara penulis yang
telah banyak menghasilkan buku-buku gerakan berhaluan kiri sewaktu Tanah Melayu
- mDBagi Pensyarah Sarjana Tamu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamed Salleh Lamry yang juga penulis buku-buku
gerakan berhaluan kiri Tanah Melayu, tragedi Balai Polis Bukit Kepong bukan
atas arahan pemimpin-pemimpin tertinggi PKM.
“Ada pemimpin-pemimpin tertinggi PKM menganggap perbuatan
membakar balai polis itu sebenarnya satu kesilapan yang dilakukan oleh anggota
bawahan parti itu. Saya tidak begitu pasti betulkah Mat Indera yang
mengarahkan serangan itu atau dilakukan ketua-ketua PKM tempatan lain tanpa
arahan sesiapa.
“Ada maklumat yang menyatakan Mat Indera berkali-kali
menyeru anggota polis disitu supaya menyerah diri dan besar kemungkinan beliau
tidak mahu membunuh mereka.” katanya kepada Malaysian Digest.
Tambahnya, Mat Indera merupakan salah seorang daripada
pejuang kemerdekaan kerana beliau berada dalam satu barisan yang berjuang untuk
menentang penjajah.
“Memang ketika itu Mat Indera berada di Bukit Kepong bersama
pemimpin rendah PKM. Sekali lagi saya katakan, saya tidak begitu pasti adakah
beliau ikut serta menembak anggota polis di situ. Hal ini sebenarnya tidak
jelas kerana belum ada sesiapa yang membuktikannya.
"Tentang konsep ‘pejuang kemerdekaan’, saya lebih suka
menggunakan konsep umum. Sesiapa saja yang menentang penjajah adalah pejuang
kemerdekaan, tidak
kiralah komunis atau bukan komunis. Saya tahu pendapat ini mungkin tidak
disetujui oleh orang-orang yang anti komunis," katanya.
Tragedi Bukit Kepong yang berlaku 65 tahun lalu pasti tidak
akan dilupakan rakyat negara ini. Ia meninggalkan kesan yang amat mendalam dan
luka berdarah di hati kita semua apabila mengetahui sejarah menyatakan anggota
polis ini dibunuh kejam manakala isteri dan anak mereka dibakar hidup-hidup.
Tidak kiralah apa tujuan utama Mat Indera dan pasukan
komunis ketika itu, persoalan dimanakah nilai kemanusiaan mereka ketika itu dek
terdorong dendam terhadap penjajah?
Mat Indera bukanlah tersilap langkah. Dia sendiri memilih
untuk menjadi petualang bangsa biarpun niat asalnya mahukan kemerdekaan buat
tanahair tercinta.
Beliau tetap petualang bangsa.
- Malaysian Digest